Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
Zero Waste Dalam Crochet Usaha Elak Pembaziran

Zero Waste Dalam Crochet: Usaha Elak Pembaziran

Dalam penulisan sebelumnya, kita berbicara tentang makna zero waste dalam dunia crochet beserta manfaat-manfaatnya. Jadi, dalam perbincangan ini, mari kita fokuskan kepada idea-idea projek crochet “mesra” zero waste yang boleh anda jadikan sebagai inspirasi.

Projek Kreatif Dari Lebihan Benang

Pada dasarnya, ia sama seperti anda mengait projek crochet yang biasa. Cuma untuk projek ini, anda perlu lebih teliti dan “berkira-kira” tentang jumlah benang yang tinggal dan bagaimana ia perlu dihabiskan. Untuk itu, kita pecahkan projek ini kepada 3 kategori:

1. Aksesori Rumah

Anda boleh memulakan projek seperti alas cawan, sarung bantal, lapik meja atau selimut perca. Ramuan asasnya ialah dengan melihat seberapa banyak lebihan benang yang tinggal.

Sebagai contoh, anda ingin membuat lapik meja dengan lebihan benang cotton dari projek-projek anda sebelumnya. Anda boleh mulakan dengan membuat Granny Square melalui lebihan benang tersebut, dengan menganggap ia cukup apabila digabungkan.

Andai kata lebihan benang itu tidak mencukupi, usah panik. Lebihan benang bagi projek anda seterusnya masih ada untuk menampung ketidakcukupan itu. Matlamat anda dalam membuat lapik meja ini adalah untuk menggunakan sebaik mungkin sumber (benang) yang anda miliki.

2. Aksesori Peribadi

Beg tote, beanie, buckethat, mahupun kardigan boleh dijadikan pilihan untuk membuat projek ini. Jalan kerjanya sama seperti diatas, anda perlu melihat sebanyak mana lebihan benang yang tinggal. Selepas itu anda tetapkan projek yang anda ingin buat dan pilih teknik atau pattern crochet dirasakan sesuai.

Mungkin anda berminat untuk membuat beg tote. Daripada lebihan benang yang anda miliki, anda boleh menggunakan Double Crochet (Dc) untuk menggabungkan semua lebihan benang itu sekali gus. Ataupun jika anda lebih berminat untuk mendapatkan corak warna yang lebih teratur, anda boleh menyesuaikan penggunaan benang mengikut warna tertentu.

Jika anda merasakan ia terlalu biasa, anda juga boleh berekperimentasi dengan gabungan teknik crochet menggunakan lebihan benang yang miliki. Gunakan segala perkara yang telah anda pelajari dalam dunia crochet ini untuk memanfaatkan sumber anda dengan sebaik mungkin.

3. Barangan Kecil dan Comel

Anda boleh membuat keychains, gelang tangan atau scrunchies. Untuk projek bersaiz mini ini, anda tidak memerlukan banyak benang. Dan lebihan benang yang anda miliki mungkin sudah cukup untuk menyiapkan satu projek mini ini. Daripada lebihan benang tersebut berakhir di dalam tong sampah, anda curahkan sedikit usaha untuk mengait keychain. Seterusnya, ia dihadiahkan kepada orang tersayang. Bukankah ia lebih bermakna?

Aspek Teknikal Bagi Hasil yang Kemas

Berbeza dari menggunakan seutas benang yang utuh, penggunaan lebihan benang memerlukan perapian yang lebih teliti. Ketelitian ketika membuat sambungan antara benang amat dituntut. Begitu juga dengan permainan warna yang boleh mempengaruhi projek lebihan benang anda tersebut.

1. Sambungan Benang: Anda boleh mengaplikasikan teknik seperti Magic Knot, Russian Join ataupun sambungan yang biasa digunakan ketika hendak menukar benang. Pastikan teknik yang anda gunakan itu sesuai dengan jenis dan saiz benang.

Benang seperti polypropylene cord tidak boleh disambung menggunakan teknik RussianJoin disebabkan oleh struktur benang tersebut. Sambungan benang akrilik atau milky cotton sesuai menggunakan magic knot, kerana menjadikan sambungan lebih kukuh.

2. Jenis Benang: Pastikan lebihan yang anda ingin sambung itu adalah dari jenis dan saiz yang sama atau hampir sama. Menyambung benang jenis 4ply milky cotton dengan benang jenis chenille bukanlah suatu idea yang baik.

3. Penyelarasan Warna: Anda harus mempertimbangkan susunan sambungan benang warna mengikut tona warna. Ia dapat menjadikan hasil kerja anda, walaupun ia bertujuan untuk mengelak pembaziran, masih kelihatan cantik dan “haute couture“.

Tips Pro: Sejurus selepas anda membuat sambungan antara benang, anda perlu mengait terus diatas hujung benang yang disambung. Dengan itu, anda tidak perlu lagi bersusah-payah menjahit mengunakan jarum tapesteri untuk menyembunyikan hujung benang.

Kesimpulan

Meskipun terdengar agak rumit dan memerlukan kesungguhan, amalan zero waste ini amat wajar dipraktikkan dalam aktiviti crochet ini. Mungkin kita merasakan bahawa sikap ini agak “kedekut”, tetapi jika ia memberi manfaat kepada semua, apa salahnya. Kita bukan sahaja menyelamatkan diri kita dari kehilangan beberapa sen dari perlaburan benang, kita juga membantu meringankan bebanan alam sekitar. Tambahan pula, hasil projek dengan menggunakan lebihan benang juga tidak kurang cantiknya.

P/S: Jika anda ada cadangan lain bagi projek yang boleh dihasilkan dari lebihan benang, kemukakannya di ruangan komen, okey. Selamat mengait dalam suasana zero waste!

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping