Anda pernah mendengar tentang “wabi-sabi”? Ia merupakan satu idea yang berasal dari Negara Jepun. Secara amnya, wabi-sabi ini adalah berkenaan menghargai keindahan yang terdapat dalam ketidaksempurnaan(imperfection), ketidakkekalan (impermenance) dan proses semula jadi yang belum sempurna. dari segi bahasa, Wilkinson (2022) menyatakan bahawa idea ini berasal dari perkataan:
Wabi: yang bermaksud kesederahanaan, berpada-pada dan hidup yang tenang.
Sabi: merujuk kepada kematangan, bersendirian (solitude) dan semula jadi.
Yang menariknya, idea wabi-sabi ini sangat praktikal dengan seni crochet. Jujur sahaja, meskipun kita menghasilkan produk crochet berdasarkan helaian pattern atau tutorial di YouTube, namun ia tidak akan seiras. Bukan itu sahaja, kita akan sukar mendapatkan simpulan yang begitu sekata lantaran setiap darinya dibuat dari ketegangan, ketekunan dan tumpuan yang berbeza. Jika ianya tentang kesempurnaan, sudah tentu hasil seni crochet kita itu tidak menepati piawaian. Tetapi, idea wabi-sabi ini memberikan rumusan yang berbeza.
Mari kita terokai 5 trivia menarik berkaitan wabi-sabi dalam dunia crochet. Mungkin ada diantaranya yang bakal mengubah sudut pandangan anda terhadap seni crochet ini, selamanya!
Trivia 1: Masih Belum Ada Mesin Crochet, di Dunia!
Fakta: Sementara hasil seni knitting sudah dihasilkan pada skala industri lantaran terciptanya mesin khas untuk knitting, tetapi belum ada mesin direka untuk crochet. Jadi, produk melibatkan seni crochet semuanya adalah 100% buatan tangan.
Sentuhan Wabi-Sabi: Hasil buatan tangan tidak memberikan keseragaman dan ketepatan seperti yang dihasilkan oleh mesin. Bahkan, ketidaksempurnaan itulah yang menjadi ciri unik sebagai identiti produk yang dihasilkan.
Trivia 2: Setiap Simpulan Menyimpan Rekod “Peribadi” Si Pembuatnya
Fakta: Jika piring hitam menyimpan rekod lagu, hasil crochet pula menyimpan rekod emosi, ketekunan dan tumpuan crocheter. Ia dapat “dibaca” melalui ketegangan benang dan bentuk simpulan yang terhasil. Perbezaan ini dipengaruhi oleh tahap fokus, emosi dan kecergasan crocheter tersebut.
Sentuhan Wabi-Sabi: Secara teorinya, tinggi, jarak dan bentuk simpulan ditentukan oleh hook yang digunakan. Selain itu, proses semula jadi juga mempunyai peranannya sendiri. Kita boleh menganggap kecergasan, tumpuan dan emosi sebagai aspek natural yang mempengaruhi kekemasan hasil crochet.
Trivia 3: Kesilapan Sebagai “Tanda Lahir” Bagi Hasil Kraf
Fakta: Dalam dunia crochet, kita bertoleransi dengan kesilapan. Jika berlaku kesilapan pada jumlah jahitan, ia merupakan perkara yang biasa. Malah, jika ada satu atau dua kesilapan penggunaan teknik simpulan, ada daripada kita yang akan membiarkan sahaja simpulan itu.
Sentuhan Wabi-Sabi: Membenarkan berlakunya sedikit kesilapan membolehkan hasil crochet tersebut memperolehi “feature” yang tersendiri. Ada kalanya, sedikit ketidaksempurnaan yang hadir dari kesilapan ini menyerlahkan keindahannya yang tersendiri. Seperti sepohon pokok yang tumbuhnya tidak simetri, tetapi keadaan semula jadi itulah yang menghadirkan kecantikan.
Trivia 4: Bukan Sekadar Produk, Malah Masa dan Jiwa
Fakta: Barangan hasil buatan tangan biasanya mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Dan ia pula bergantung kepada tahap kerumitan untuk menyiapkan barang tersebut. Semakin rumit, sama ada corak, teknik dan kehalusan, maka semakin lama masa diambil untuk menyiapkannya. Dan darjah kerumitan itu juga memerlukan tahap kepakaran dan ketekunan artisan yang membuatnya.
Sentuhan Wabi-Sabi: Idea “Sabi” yang menekankan tentang menghargai proses yang dijalani dalam menyiapkan barangan kraf. Jadi, penghayatan terhadap keindahan barangan kraf bukan terletak pada rupa semata-mata, tetapi juga dedikasi dan masa yang telah dicurahkan.
Trivia 5: Jenama Mewah Turut Menyertai Area Estetika Ini
Fakta: Terdapat banyak jenama fesyen mewah antarabangsa yang sudah memasukkan elemen crochet dalam koleksi haute couture mereka. Sudah pasti, pemain-pemain besar ini membantu memperkenalkan seni crochet ke dalam pasaran fesyen elit dan eksklusif mereka.
Sentuhan Wabi-Sabi: Mempunyai barangan sentuhan manusiawi dengan karakter dan “ketidaksempurnaan” yang unik menjadikannya terhad dan bernilai. Hal ini kerana lambakan barangan yang mirip antara satu sama lain mengurangkan pengaruh permilikan ekslusif seseorang.
Kesimpulan
Justeru, ketidaksempurnaan dan ketidakseragaman yang terdapat pada hasil kraf anda adalah butiran kecantikan yang perlu dihargai. Ia merujuk kepada proses yang disulam bersama jiwa dan kisah yang tersendiri. Bersamanya juga, adalah suatu bukti sulaman tangan seorang artisan.
Rujukan
Wilkinson, D. (2022). Wabi-sabi: a virtue of imperfection. J Med Ethics, 48(11), 937-938 .doi: 10.1136/medethics-2021-108074. Epub 2022 Feb 1. PMID: 35105700.
