Sedang anda tekun mengait projek beg tote selama hampir dua jam, tiba-tiba anda menyedari yang kaitan anda tidak sekata. Setelah diperiksa baris demi baris, rupa-rupanya anda terkurang satu simpulan di baris kedua.
Kejadian ini biasanya akan mengundang perbualan monolog terhadap diri anda sendiri. “Aduh! nak bukak balik ke, biar macam ni je?” sambil anda menenung projek itu seperti menenung bil elektrik rumah yang perlu anda bayar.
Bagi memastikan projek tersebut kemas dan seimbang, sudah semestinya setiap simpulan dibuka semula hingga ke titik yang mengalami kekurangan simpulan. Dan membuka semula simpulan yang telah kita kait tidaklah sukar. Cuma perlu menarik pangkal benang dan ia akan menyebabkan setiap simpulan akan terlerai.
Dalam dunia crochet, tindakan itu dikenali sebagai “Frogging“. Dah kenapa ia dikenali sebagai meng-katak? Sebenarnya, kita tidak melompat semasa melakukan tindakan itu, cuma bunyi yang terhasil semasa kita meretas simpulan, “rip it,..rip it,..rip it”. Bunyinya seakan bunyi seekor katak. Ia cuma panggilan yang diberikan oleh komuniti mengait untuk memberi pengistilahan terhadap perbuatan yang berkaitan dengan crochet.
Ada yang beranggapan bahawa membuka semula setiap simpulan pada sebuah projek crochet adalah suatu tragedi. Namun, lihat pada sisi positifnya, frogging ini bukanlah tanda kegagalan, tetapi ia petanda keinginan mencapai kesempurnaan serta latihan meningkatkan kesabaran dalam diri.
Keberanian Menolak “Sunk Cost Fallacy”
Mungkin ada diantara kita yang masih menyimpan baju yang tidak kena dengan penampilan, atau tidak selesa untuk dipakai, atas alasan terlanjur membeli.
Tetapi, falsafah yang diterapkan dalam frogging ini mengajar kita untuk sanggup melepaskan apa yang bakal tidak menjadi. Bayangkan sahaja, jika kita berkeras untuk menyiapkan sesuatu yang salah sejak dari asasnya. Maka hasil yang kita peroleh pada akhirnya tidak menjadi seperti yang diimpikan. Namun, intervensi dalam bentuk frogging ini, walaupun mencuri sedikit masa, tetapi peluang yang lebih besar berupa hasil yang lebih sempurna bakal diperoleh.
Kelestarian Dalam Almari Baju
Bergelumang dalam fast fahsion menyebabkan kita terpaksa memenuhi almari dengan membeli pakaian yang sesuai dengan fesyen terkini. Dan ianya berlaku pantas, sepantas perubahan fesyen yang ada dalam pasaran.
Untungnya, dunia fesyen crochet bertindak sebaliknya. Jika ingin mengubah atau menyesuaikan dengan fesyen terkini, cuma perlu frogging, gulung semula benang, dan kait benang mengikut fesyen yang dikehendaki. Kebolehan untuk diolah semula ini, memberi kelebihan pada sumber yang kita perlukan untuk berfesyen, juga ruang yang lebih banyak untuk almari baju kita!
Namun, Frogging Bukan Untuk Semua Benang
Ya, meskipun frogging memberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan, namun tidak semua jenis benang boleh untuk diretas kemudian diolah semula.
Benang Berbulu (Mohair/Boucle): Benang jenis ini mempunyai gentian halus yang mudah terpintal apabila ia disimpulkan. Maka, proses meretas semula akan menjadi sangat sukar kerana ia bukan sahaja berkenaan meleraikan simpulan, ia juga berkenaan meleraikan gentian halus yang terpintal. Manakala, kekerasan dalam membuat retasan boleh menyebabkan benang putus atau tersimpul mati.
Benang Berstruktur Lembut (Single-ply Yarn): Proses simpulan semasa mengait benang itu sendiri telah mengganggu integriti benang. Jika diretas semula, ia akan menampakkan keadaan benang yang kehilangan bentuk pintalan, bulu pada benang (pilling) jelas kelihatan dan helaian benang yang kusut.
Selaku orang yang bertanggungjawab menggunakan benang yang dipilih, anda semestinya sudah mengenali benang tersebut sebelum pemilihan benang itu dibuat. Jadi, risiko seperti ini juga sudah dinilaikan dengan sewajarnya, selain memenuhi kesesuaian dengan projek crochet.
Pada Akhirnya
Ada masa, sedang kita tenggelam dalam tumpuan menyimpul segulung benang, kita akan tertinggal beberapa jahitan. Atau mungkin, projek crochet yang telah disiapkan tidak seperti yang diharapkan atau tidak kena dengan fesyen terkini. Benarkan kesilapan tersebut berlaku, jangan bebankan diri kita dengan rasa bersalah. Sebaliknya, beranikan diri untuk meleraikan semula setiap simpulan, gulung semula benang tersebut, dan mula mengait dari titik permulaan. Dengannya, kita akan lebih memahami rentak kaitan kita, juga akan menambah keyakinan diri untuk menyiapkan projek crochet tersebut.
Dalam dunia fesyen mahupun kehidupan, setiap yang berlaku itu merupakan proses pembelajaran yang mematangkan. Jadi, happy crocheting!
Pernahkah anda terpaksa frogging projek yang dah hampir siap? Agaknya atas alasan apa ye? Jika sudi, kongsikan “tragedi” itu diruangan komen!
