Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
Senaman Mudah Buat Pengait

Senaman Mudah Buat Pengait

Sedang asyik mengait, tiba-tiba pergelangan tangan rasa sakit, jari jemari pula kekebasan. Kebetulan pula mengait dalam posisi duduk, pinggang dan bahu pun berasa sangat tegang. Setiap pengait mesti akan merasai pengalaman ini, kan?

Perkara ini merupakan kesan daripada aktiviti mengait yang memerlukan otot bekerja secara berulang dan posisi yang kaku untuk tempoh yang lama. Sejujurnya, kita sebagai pengait agak sukar untuk menemui titik keselesaan yang sempurna ketika melakukan aktiviti mengait ini.
Tetapi, berita baik untuk para pengait, kita boleh mengurangkan kesakitan yang dialami dengan melakukan beberapa pergerakan mudah.

Berikut merupakan 5 senaman regangan mengikut “bahagian sakit” yang boleh anda sebagai pengait amalkan terus dari tempat anda mengait.

Bahagian 1: Pergelangan Tangan dan Jari

Ini merupakan bahagian yang paling bekerja keras semasa kita memegang hook seraya menyimpul dan mengawal ketegangan benang.

Senaman 1: Regangan Fleksor Tangan

Langkah-langkah: Luruskan tangan kanan ke hadapan. Halakan tapak tangan ke atas. Pengang jari jemari tangan kanan menggunakan tangan kiri. Kemudian, tarik jari jemari tersebut secara perlahan dan lembut. Tahan pada keadaan tersebut selama 15-20 saat. Setelah selesai, ulang langkah tersebut pada tangan kiri pula.

Kebaikan: Regangan ini dapat meleraikan tekanan urat saraf pada pergelangan tangan. Ia sekali gus dapat mengelak berlakunya Carpal Tunnel Syndrome.

Senaman 2: Regangan Jari

langkah-langkah: Mula-mula, genggam jari jemari menjadi penumbuk. Kemudian, lepaskan genggaman dan regangkan jari jemari selebar yang mungkin. Lakukan langkah ini pada kedua belah tangan sebanyak 8 ke 10 kali.

Kebaikan: Meredakan ketegangan otot di tapak tangan dan jari setelah bekerja untuk menggenggam dan mengawal hook serta memegang fabrik crochet.

Bahagian 2: Leher dan Bahu

Bahagian ini terjejas kerana mengait dalam posisi duduk. Di posisi ini, kepala akan tertunduk untuk melihat setiap jahitan. Tambahan pula, bahagian ini tidak mendapat sokongan yang menyebabkan otot bekerja lebih keras untuk menstabilkan kepala.

Senaman 3: Sorotan Dagu

Langkah-langkah: Duduk dengan tegak. Kemudian, pandang lurus ke hadapan. Gerakkan dagu kebelakang secara mendatar seperti mana sedang membuat double chin. Tahan pada keadaan tersebut selama 5 saat. Ulang langkah sebanyak 5 kali.

Kebaikan: Ia membantu melegakan ketegangan otot di bahagian leher dan tulang belakang. Jika diamalkan secara berterusan, ia dapat menguatkan otot leher.

Senaman 4: Putaran Bahu

Langkah-langkah: Rehatkan keseluruhan tangan. Kemudian, gerakkan bahu dengan memutarkan kedua-dua bahu melawan arah jam. Lakukan sebanyak 10 kali putaran. Kemudian, balas putaran mengikut arah jam pula. Lakukannya sebanyak 10 kali putaran juga. (Jika terbiasa memutar bahu sambil memengangnya, boleh sahaja melakukan sedemikian)

Kebaikan: Ketegangan pada otot trapezius dapat dikurangkan, selain ia dapat membantu pengaliran darah.

Bahagian 3: Belakang Badan

Berada diposisi duduk untuk suatu tempoh yang lama akan menyebabkan belakang badan menjadi lenguh. Ini kerana otot-otot yang terdapat dibelakang badan akan menyokong dan menampung bahagian atas badan secara berterusan. Otot-otot yang bekerja secara terus ini lama-kelamaan akan menjadi tegang dan menyebabkan rasa lenguh pada bahagian belakang badan.

Senaman 5: Bukaan Dada

Langkah-langkah: Posisikan kedua belah tangan ke belakang pinggang. Pegang atau sulam jari jemari (pilih kaedah mana yang dirasakan selesa). Dengan perlahan-lahan, luruskan tangan yang berada pada posisi tersebut. Sambil itu, tolak dada kehadapan sementara bahu di tarik kebelakang. Tahan pada posisi ini selama 20 saat.

Kebaikan: Melalui regangan ini, ketegangan otot-otot dibahagian belakang dapat dikurangkan. Selain itu, otot di bahagian dada juga dapat dilonggarkan setelah mengalami pengecutan semasa membongkok ketika mengait.

Waktu Ideal Untuk Melakukan Senaman

Sama seperti melakukan aktiviti seperti bersukan atau beriadah, senaman atau regangan ini dilakukan sebelum, semasa dan selepas mengait.

Sebelum Mengait: Mulakan dengan beberapa regangan seperti senaman 1 dan 2. Ia akan membiasakan otot dengan pergerakan serta melonggarkan otot yang sebelumnya kaku.

Semasa Mengait: Praktikkan petua 20-20-20 (mengait selama 20 minit, rehat selama 20 saat, dan regangan ringkas selama 20 saat).

Selepas Mengait: Lakukan beberapa regangan seperti senaman-senaman yang disyorkan. Ia bertujuan bagi meredakan ketegangan otot.

Amalkan senaman ringkas ini setiap kali anda melakukan aktiviti mengait. Dengan sedikit pergerakan ini, bakal memberi pulangan berupa keselesaan ketika mengait dan juga tumpuan untuk menjadi lebih produktif. Dan yang paling penting, dapat mengurangkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan yang dapat mengganggu kehidupan seharian.

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping