Setelah anda menyiapkan sesuatu projek crochet, ke manakah perginya baki benang anda tadi? Adakah terus ke bakul sampah? Atau anda simpan dalam kotak benang?
Jika benang itu terlalu pendek atau mengalami beberapa “defect“, mungkin bakul sampah menjadi pertimbangan. Tetapi, bagi crocheter yang gemar membuat amigurumi, benang seperti itu dijadikan “stuffing” untuk projek mereka.
Begitu juga lebihan benang untuk, sebagai contoh projek selimut crochet. Biasanya akan disimpan, sebagai tambahan untuk projek crochet yang akan datang. Jadi, setiap inci benang dapat digunakan sebaik yang mungkin.
Apakah itu Zero Waste?
Di internet, anda boleh menjumpai pelbagai definisi zero waste. Kita boleh memahaminya melalui maksud tiada lebihan akan tersisa. Atau kita boleh memahaminya melalui maksud penggunaan sumber secara optimum.
Dalam dunia kraf tangan, konsep zero waste ini juga terpakai dan perlu untuk dipraktikkan. Spesifiknya, dalam ruang lingkup crochet, konsep ini diterapkan terutama bagi sumber-sumber yang kita gunakan untuk membuat projek.
Sumber seperti segulung benang harus disimpul habis untuk menyiapkan projek crochet. Jika terdapat lebihan benang (scrap yarn), ia tidak akan dibuang. Malah, benang itu digulung semula dan disimpan di dalam kotak benang.
Mengapa Perlu Zero Waste Dalam Crochet
Terdapat beberapa manfaat yang boleh kita perolehi dari amalan zero waste dalam aktiviti crochet kita. Antaranya ialah:
1. Mengekalkan Kelestarian Alam: Dengan memanfaati setiap inci dari sumber yang kita miliki, ia mengurangkan pembuangan sisa tekstil ke tapak perlupusan sampah. Meskipun terlihat sedikit, namun yang sedikit itu boleh membantu alam sekitar untuk pulih dengan sendirinya.
2. Menjana Kreativiti: Selain sedikit kelegaan untuk alam sekitar, ia membantu kita untuk menjadi lebih kreatif. Dengan adanya lebihan benang, akan timbul keinginan untuk terus berkarya. Anda akan lebih bersemangat mencari rujukan untuk projek crochet yang baharu. Dari melihat hasil crochet para crocheter lain di Instagram, hingga ke termenung sambil menghirup kopi panas. Semuanya akan anda gunakan semata-mata untuk mendapatkan ilham, yang dimulakan dari keinginan menghabiskan lebihan benang yang ada dalam kota benang anda.
3. Langkah Penjimatan Kos: Sudah semestinya, anda membeli barang seperti benang anda dengan wang. Terutama sekali bila anda menjadikan crochet sebagai sumber pendapatan anda. Bukan sahaja anda perlu menajana semula wang yang telah anda laburkan, anda juga tidak mahu ketirisan berlaku pada perlaburan tersebut. Tentu anda tidak ingin melihat benang yang anda beli terbazir begitu sahaja. Ianya ibarat anda telah membuang setiap sen yang anda laburkan untuk pembelian benang.
Bersambung…
