Macam mana mereka boleh buat dua warna dalam satu baris ye? Adakah perlu beli benang yang memang ada dua warna? Bagaimana kalau ukuran dia tak tepat, mesti hasilnya tak terletak cantik, kan? Atau mungkin mereka menyambung benang menggunakan teknik Russian Join atau melekatkan hujung kedua benang?
Kita mungkin mempunyai persepsi bahawa hasil crochet yang menarik datangnya dari simpulan atau teknik yang kompleks dan susah. Ya, memang ada sesetengah hasil crochet disimpul menggunakan teknik pada tahap kesukaran yang tinggi. Tetapi, untuk menukar benang dengan warna yang berbeza pada satu baris, ia tidaklah begitu sukar. Malah, jika anda memahami konsep pertukaran tersebut, anda akan dapat menghasilkan reka bentuk sendiri pada projek crochet anda yang seterusnya!
Bukan sahaja untuk kegunaan menukar warna benang, langkah ini juga biasa digunakan sewaktu kita ingin menyambung benang baharu setelah kita kehabisan benang. Mari, kita pelajari langkah-langkahnya:
Bahagian 1: Menukar Warna Benang
Bayangkan anda sedang membuat dua warna pada satu baris, iaitu warna biru dan putih. Pada ketika ini, anda hampir menyiapkan warna biru dan ingin menukarkan benang putih:
Langkah 1: Teruskan mengait jahitan seperti biasa. Jika anda menggunakan Single Crochet (Sc), terus masukkan hook kedalam chain kaitan. Jika menggunakan Double Crochet (Dc), buat satu loop pada hook, kemudian dimasukkan kedalam chain. Begitu juga dengan jenis crochet yang lain sperti Treble Crochet (Tc) dan lain-lain.
Langkah 2: Kait benang biru, lalu tarik hook keluar bersama-sama dengan benang biru tadi melalui chain. Berhenti sejenak. Lihat pada hook anda. Jika anda menggunakan Sc, akan ada dua loop benang biru pada hook anda. Tetapi, jika anda menggunakan Dc, Hdc, Tc atau selainnya, anda perlu menyempurnakan kaitan sehingga hanya terdapat dua loop benang biru pada hook.
Langkah 3: Setelah kita mempunyai dua loop benang biru pada hook, lepaskan benang biru yang bersambung dengan loop pada hook dari jari telunjuk.
Langkah 4: Sekarang, ambil benang putih yang baharu. Kemudian, sangkutkan benang putih tersebut ke hook.
Langkah 5: Setelah disangkut, tarik benang putih itu masuk melalui dua loop benang biru yang terdapat pada hook. Hasilnya, anda kini mempunyai satu loop benang putih pada hook. Malah, bahagian benang biru juga terbentuk dengan kemas. Pada langkah ini, anda telah berjaya menukar warna benang.
Bahagian 2 : Sembunyikan Benang (Teknik Tapestri)
Kini, anda ingin menyelesaikan baris dengan benang putih. Tapi, benang biru masih berjuntai dibelakang. Jika dibiarkan, nampak berserabut pula bahagian belakang hasil crochet anda. Untuk mengelakkan kekusutan itu, kita perlu sorokkan benang biru itu dengan membuat langkah-langkah dibawah:
Langkah 1: Sebelum memulakan kaitan menggunakan benang putih, ambil benang biru yang berjuntai tadi. Kemudian, letakkannya dengan kemas diatas chain kaitan yang padanya bakal dikait dengan benang putih.
Langkah 2: Setelah diletakkan dengan rapi, mulakan mengait benang putih. Jika anda mengunakan Sc, terus masukkan hook ke dalam chain. Jika anda menggunakan Dc, Hdc, Tc atau selainnya, gelungkan loop sesuai mengikut jenis jahitan sebelum memasukkan hook ke dalam chain. Adalah penting bagi anda untuk memastikan benang biru kekal terletak diatas chain seperti di langkah 1.
Langkah 3: Kait benang putih dan siapkan jahitan seperti biasa. Pastikan anda sentiasa melihat keberadaan benang biru, sama ada ia masih kekal tersembunyi di sebalik benang putih. Jika ada keperluan untuk mengatur posisi benang biru akibat perbezaan ketegangan, anda cuma perlu menarik hujung benang biru supaya ia kekal tersembunyi.
Tahniah! Anda sudah mempelajari langkah-langkah untuk menukar warna benang pada projek crochet anda. Kini, anda cuma perlu mempraktikkannya secara kerap agar “trik” ini dapat diingati sebaik mungkin. Ya, mana tahu jika nanti rakan crochet anda menanyakan tentang hal ini, anda boleh memberi tunjuk ajar kepadanya seperti seorang pro!
