Sesekali ketika anda sedang melayari media sosial, anda ternampak kakak atau abang crocheter sedang mempromosikan barang hasil rajutannya. Ataupun ketika anda sedang berjalan di pasar minggu atau pameran kraf, anda melihat barangan kraf tangan yang menarik perhatian anda. Jadi, anda pun bertanyakan harganya. Tetapi, alangkah terkejutnya anda apabila mendapati bahawa harganya terlalu mahal.
Ya, kebiasaannya produk yang dihasilkan oleh penggiat kraf tangan biasanya akan diletakkan pada harga yang sedemikian. Dan harganya berbeza dengan produk yang dihasil secara besar-besaran oleh kilang.
Mungkin ada yang akan menanyakan, “bukannya guna benang sutera pun?”, atau “barang dari kilang pun okay je?”, atau “Ni mesti seller markup sebab nak untung lebih ni”. Sebenarnya, soalan-soalan ini dan soalan yang lainnya mengenai harga adalah wajar. Dalam memikirkan kewajaran harga yang diletakkan pada sesebuah produk kraf tangan, mereka perlu mempertimbangkan beberapa perkara tentang produk kraf tangan ini juga.
1. Keperluan Harian vs. Nilai Eksklusif
Dari keperluan asas seperti pakaian, makanan hingga ke alat komunikasi dan transportasi, kebanyakan kita menggunakan produk hasil buatan kilang. Selain dari tujuan utamanya iaitu memenuhi keperluan asas, kita memilih barang buatan kilang kerana ia mampu milik dan sudah tersedia.
Cuma, sistem kilang ini menghasilkan produk pada skala besar. Jadi, produk yang dihasilkan adalah banyak, berulang-ulang dan identik. Dalam erti kata lain, baju yang kita guna pada waktu ini juga turut dimiliki oleh banyak pengguna lain diluar sana pada masa yang sama.
Bezanya dengan produk hasil buatan tangan, ia dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit, malah ada yang dihasilkan hanya sebuah unit untuk satu reka bentuk. Disebabkan kita sudah mempunyai banyak barangan yang sama dengan orang lain, sesekali kita memerlukan barang “limited edition” yang hanya untuk kita sahaja. Dengan adanya barang seperti ini, akan meningkatkan nilai eksklusif kita pada khalayak ramai.
2. Tempahan Khas
Berkait rapat dengan penjelasan sebelumnya, ada kalanya barangan kraf tangan ini boleh ditempah mengikut kehendak pengguna. Industri kraf tangan yang termasuk dalam industri fesyen, boleh jadi begitu dinamik dan fleksibel hingga ia boleh dilaraskan mengikut citarasa dan kehendak.
Tidak dinafikan bahawa produk kraf tangan terhasil daripada inspirasi si penggiat seni kraf. Tetapi satu ‘rahsia’ yang pengguna perlu ketahui ialah, penggiat seni menggunakan hasil produk kraf tangan mereka itu untuk mempromosikan kebolehan mereka. Ia sama seperti ruangan protfolio atau pencapaian pada resume anda.
Daripada situ, pengguna akan menilai kemampuan penggiat seni kraf tangan tersebut. Sebagai pengguna yang inginkan sesuatu produk yang unik dan hanya dimiliki olehnya, langkah seterusnya ialah dengan menanyakan kepada penggiat seni kraf tentang kesudiannya membuat produk “custom“.
Konsepnya sama seperti anda menempah satu set persalinan pakaian pengantin di sebuah butik. Sudah tentu anda akan membelanjakan banyak wang simpanan anda untuk set tersebut. Cuma anda tidaklah berbelanja lebih untuk produk kraf tangan yang mengikut cita rasa anda, melainkan penggiat seni kraf itu ialah pereka fesyen terkemuka.
3. Penggunaan Material Yang Boleh Dipercayai
Jika produk yang dihasilkan oleh industri pada skala besar berpaksikan kepada kuantiti, peniaga kraf secara kecil-kecilan mempunyai fokus yang berbeza. Mereka meletakkan reputasi mereka pada kualiti yang terdapat pada produk yang mereka hasilkan.
Bagi sesetengah penggiat seni kraf tangan, mereka melaksanakan fasa “R&D” tersendiri sebelum memulakan projek kraf tangan. Ada yang dibuat melalui pembacaan dan pembelajaran dari sumber-sumber tertentu. Ada juga yang menggunakan kaedah “try and error” dengan mencuba beberapa material tertentu untuk disesuaikan pada projek. Begitu juga pemilihan reka bentuk dan corak yang perlu ditentukan oleh penggiat seni kraf sebelum memulakan projek kraf tangan.
Hal-hal ini yang juga antara yang dipertimbangkan oleh penggiat seni kraf dalam meletakan harga untuk sebuah hasil kraf tangan. Jadi, produk kraf tangan yang sampai kepada pengguna, bukan sahaja mempunyai keunikan tersendiri, malah ia telah dikirakan dengan teliti oleh si penggiat seni kraf akan kualiti produknya.
4. Pembakar Semangat Untuk Terus Berkarya
Setiap pembelian yang dilakukan keatas produk kraf tangan tempatan, ia akan langsung sampai ke penggiat seni kraf tangan tersebut.
Ia bagaikan pertukaran sistem barter antara dua individu. Seorang, iaitu pengguna, akan mendapat produk yang unik dan sarat dengan nilai sentimental. Manakala seorang lagi, si penggiat seni kraf akan mendapat sebab dan dorongan tambahan untuk terus berkarya dalam bidang ini. Atau sekurang-kurangnya penggiat seni kraf tangan mendapatkan modal pusingan untuk membeli material baharu bagi projek kraf tangan seterusnya. Pada akhirnya, kedua-dua individu tersebut memperoleh manfaat daripada transaksi tersebut.
Kesimpulan
Mungkin barangan kraf tangan dirasakan agak mahal bagi sesetengah pihak. Namun, jika dinilai dari segi keunikan, ketelitian, masa serta “semangat” yang dicurahkan untuk menghasilkan sebuah produk kraf tangan, ia sebenarnya agak berbaloi. Produk kraf tangan ini lebih dari sekadar pelengkap gaya, ia adalah berkenaan mengapresiasi sebuah karya seni dan keaslian diri sendiri.
Ingin merasai sendiri keunikan produk yang dibuat khas dengan penuh ketelitian?
Jemput singgah dan lihat koleksi kraf tangan terbaharu kami di sini[krafd.store/shop-full-width/]. Temui aksesori estetik anda yang direka khusus untuk menyerikan gaya hidup anda hari ini.!!
