Bagaimana dengan sambutan hari raya anda tahun ini? Diharap sambutan anda meriah dan penuh kegembiraan. Seminggu menyambut hari raya, sudah tentu anda dijamu dengan kombinasi warna, tekstur dan gaya yang pelbagai dan menarik. Sebagai crocheteer, semestinya pengalaman tersebut akan memberi ilham kepada anda.
Tapi, jangan biarkan inspirasi yang muncul itu untuk hilang dari ingatan! Inilah masanya untuk kita praktikkan ‘Creative Harvest‘ atau menuai semua idea yang diperolehi sepanjang minggu kita beraya sebelumnya. Berikut adalah langkah yang anda boleh lakukan untuk menukar inspirasi raya kepada idea projek yang baharu:
1. Kombinasi Palet Warna yang Pelbagai
Setiap orang ada citarasa yang tersendiri. Tidak kira sama ada busana yang dijahit sendiri, hingga ke tempahan dari pereka terkenal, semuanya menyajikan keunikan yang tersendiri. Dengan gabungan warna yang sangat menarik dan harmoni, bagaimana mungkin anda akan kekurangan idea?
Apa perlu anda lakukan: Ambil sebanyak mungkin gambar(pastikan anda minta izin terlebih dahulu) atau catat warna palet tersebut. Simpan gambar atau catatan tersebut, dan jadikan ia sebagai rujukan ketika memilih benang untuk projek crochet anda yang seterusnya. Usah risau, warna yang trending biasanya akan kekal diminati untuk beberapa bulan yang mendatang.
2. Memahami Keperluan (Pain Points)
Semasa beraya, pasti akan timbul beberapa isu yang menjadi keperluan semasa, seperti “tak muat la beg ni nak masukkan lampin anak.” Beg yang sedia ada memang sesuai dengan persalinan yang dikenakan. Cuma kapasitinya tidak memenuhi keperluan, dan memaksanya menambah beg lain yang mungkin merosakkan outfitsnya pada hari itu.
Anda sebagai crocheteer: Merancang penambah baikan rekaan produk yang sedia ada. Dengan gaya yang sama, cuma dengan melebarkan sedikit saiz produk atau menambah kompartmen supaya ruang dalaman diisi sepenuhnya.
3. Adaptasi Dari Seni Kraf ‘Jiran’
Di musim raya ini, sudah pasti ramai yang akan mengenakan baju tradisi dan bersarung songket. Paling tidak, apabila berkunjung ke rumah saudara di kampung, tentu anda akan tertumpu pada corak anyaman tikar tradisional. Setiap satu mestinya ada bunga atau corak yang tersendiri.
Berekperimentasi: Inilah masa anda menggunakan teknik mosaic crochet. Sama seperti pada langkah pertama, ambil gambar atau lakarkan corak. Kemudian, rancangkan penerapan corak kedalam projek anda, layaknya seorang crocheteer yang mengaplikasikan teknik mosaic crochet.
Kesimpulan
Sungguhpun kebiasaannya, orang akan bercuti sempena hari raya. Sebaliknya bagi crocheteer, musim raya inilah medan anda untuk mencari dan meneroka visi baharu untuk produk crochet anda.
Pro Tips: Sediakan buku nota kecil, atau folder khas dalam telefon pintar anda untuk menyimpan semua gambar inspirasi yang anda peroleh semasa musim perayaan ini!
Dalam kita sibuk mencari inspirasi, jangan pula kita lupa yang kita masih beraya. Jangan lupa mengunjungi rumah saudara. Dan jangan lupa untuk mengucapkan selamat hari raya!
