Seiring keinginan menjadi lebih kreatif dalam dunia seni, semakin banyak alternatif telah diterokai untuk menambahbaik nilai produk seni tersebut. Dari benang kapas yang tipikal, mereka mencuba benang T-shirt atau tali rafia yang asalnya bukan untuk tujuan crochet.
Banyak sekali alternatif yang telah diusahakan, dan antaranya ialah hasil inovasi tempatan iaitu benang serat daun nanas atau Pineapple Leaf Fibre (PALF). Mari kita kupas lebih lanjut tentang tentang benang ini.
Potensi dan Kelebihan
Kita mengetahui bahawa daun nanas agak tebal, kasar dan mempunyai sedikit duri pada sisi daun. Setelah buah nanas dituai, daun nanas ini biasanya akan dipangkas dan dibuang. Akan tetapi, daun nanas sebenarnya mengandungi serat selulosa yang kukuh. Melalui kaedah dan proses tertentu, serat tersebut diekstrak dan dipintal menjadi benang. Benang serat nanas tersebut mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya:
1. Mempunyai kekuatan rengangan yang tinggi. Dengan kelebihan tersebut, benang serat nanas ini tidak mudah untuk putus.
2. Memiliki sifat perintang air semula jadi. Ia berbalik kepada sifat asal daun nanas yang mampu menyerap lembapan dengan baik. Jika dijadikan produk kreatif seperti beg tangan, ia dapat mengelak barang berharga seperti kunci dan telefon pintar dari basah lencun.
3. Struktur yang keras dan teguh. Bagi artisan yang gemar akan reka bentuk produk yang teguh dan kemas, benang ini patut tersenarai dalam senarai pilihan. Bayangkan sebuah beg tangan dengan warna semula jadi benang, mempunyai bentuk yang utuh dan kemas, seperti beg tangan kulit dari jenama terkemuka.
Realiti dan Cabaran
Meskipun inovasi ini membawa kebaikan kepada alam sekitar, namun terdapat kekangan yang menyebabkan ia belum digunakan secara meluas oleh komuniti kraf. Kekangan tersebut ialah kos untuk mendapatkan segulung benang serat nanas.
1. Aktiviti Pemprosesan Yang Rumit: Daripada pemerolehan, pengekstrakan hingga pintalan menjadi benang, ia memerlukan tenaga kerja yang tinggi. Ditambah pula ia dihasilkan oleh pengusaha berskala kecil dengan kaedah yang hampir manual. Hal ini menyebabkan harga sekilogram benang ini jauh lebih mahal dari benang kapas atau akrilik.
2. Kesan Terhadap Harga Produk: Produk kraf siap perlu diletakkan pada harga yang tinggi kerana mengambil kira kos pembelian bahan asas yang tinggi.
3. Pengguna Memilih Untuk Berjimat Cermat: Kebanyakan pengguna tempatan pada masa kini lebih mengutamakan kelangsungan hidup dan kesihatan kewangan. Jadi, nilai yang diutamakan ialah kegunaan dan harga, manakala mesra alam tidak berada pada keutamaan tersebut.
Pemandangan Industri Masa Depan
Melihat kepada potensi benang serat nanas itu sendiri, dapat membuktikan bahawa ia dapat menjadi pilihan benang yang digunakan untuk seni kreatif. Cuma, ia perlu disalurkan kepada segmen pasaran yang betul seperti projek eksklusif, karya pameran atau barangan premium untuk bersinar.
Untuk menjadikan benang serat nanas ini digunakan seperti mana benang kapas, pengusaha perlukan penaik tarafan. Fasiliti memproses pada skala besar, serta sistem keseluruhan yang kredibel bagi mengurangkan kos pengeluaran.
Dengan adanya inovasi seperti ini, jelas sekali bahawa ia menunjukkan perkembangan positif kepada seni kraf. Namun, dari perspektif perniagaan, aspek inovasi, realiti pasaran dan kos perlu diseimbangkan bagi menjamin kelangsungan perniagaan tersebut.
