Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
Psikologi Warna Dalam Crochet

Psikologi Warna Dalam Crochet

Percayakah anda bahawa warna yang terdapat disekeliling kita ini dapat mempengaruhi emosi dan psikologi seseorang manusia? Tetapi, ianya tidak hadir secara langsung seperti ketika anda dimarahi oleh seseorang atau ketika anda menerima gaji untuk bulan ini.
Daripada kajian yang dibuat oleh Kuller et al. (2006), penggunaan warna yang tertentu pada sesebuah reka bentuk menyumbang kepada suasana yang lebih positif. Sudah tentu, kesan positif itu dapat dirasai oleh artisan dan penggaya hasil crochet tersebut.

Sains Disebalik Warna dan Kognitif

Warna yang terhasil dari wavelengths cahaya kita lihat dari persekitaran, termasuk warna pada hasil crochet akan “ditangkap” oleh mata. Pada mata kita, cahaya tersebut akan melalui proses tertentu bermula dari cornea, pupil dan seterusnya ke retina (Mukamal, 2017). Dari retina, cahaya akan diproses melalui perubahan kimia yang ada di sel sensitif cahaya, yang kemudian akan menghasilkan impuls. Dari sana, impuls akan dihantar ke korteks visual yang terdapat dalam otak melalui saraf optik. Setelah sampai di korteks visual, impuls akan “diterjemah”, sama ada untuk menjadi rujukan atau memberi arahan kepada motor untuk tindakan (Blind Babies Foundation, n.d.). Malalui interpretasi tersebut, otak akan mengawal reaksi yang bakal dihadapi oleh badan, seperti merasa lebih tenang, bertenaga dan lain-lain.

Contoh Paduan Warna dan Kesan Kepada Emosi

Daripada kajian yang dibuat oleh Kurt dan Osueke (2014), mereka mendapati bahawa penggunaan warna tertentu telah memberi kesan terhadap perasaan individu. Mari kita meneliti beberapa contoh kumpulan warna berserta emosi yang terbit daripadanya:

Warna Pastel, Biru, Hijau: Kita kategorikan warna-warna ini sebagai warna tenang. Warna hijau dan biru sangat berkait rapat dengan alam semula jadi, juga warna pastel yang kelihatan damai dan menenangkan. Tona yang “sejuk” seperti biru dan hijau yang melambangkan alam semula jadi, harmoni serta menghadirkan ketenangan dan rasa selamat (Chohan, 2023).

Warna Kuning, Jingga, Merah: Untuk warna-warna ini pula, kita kategorikan sebagai warna bertenaga. Ini kerana tona hangat seperti ini merangsang sistem saraf simpatetik yang menjadikan seseorang lebih bertenaga dan fokus. Kurt dan Osueke (2014) dan Chohan (2023) telah menyatakan bahawa warna cerah seperti kuning membangkitkan perasaan ceria, kreatif dan yakin.

Warna Coklat, Kelabu, Krim: Warna-warna ini kita kategorikan sebagai warna neutral. Penggunaan tona semula jadi ini memberi kesan selamat, stabil dan down-to-earth. Seperti tona sejuk, pengguna akan merasa lebih aman tanpa penambahan visual yang berlebihan.

Pemilihan Warna Yang Bersesuaian Dengan Keperluan Emosi

Beberapa tips berikut boleh dipraktikkan bagi memastikan setiap warna yang dipilih dapat memberi kesan positif kepada pengguna:

1. Tentukan Kegunaannya: Sebagai contoh, beg tote untuk membawa barang keperluan ke tempat kerja. Secara umumnya, kita mengetahui bahawa tekanan tinggi berkemungkinan akan berlaku di tempat kerja. Jadi, pemilihan warna dalam kategori warna tenang seperti warna pastel atau biru merupakan pilihan terbaik.

2. Pilih Keseimbangan Warna: Elakkan dari membuat gabungan warna kontras yang berlebihan. Ia akan menyebabkan rangsangan berlebihan dan kemudiannya meletihkan visual. Untuk mencari padanan warna yang sesuai dan seimbang, gunakan roda warna (color wheel).

3. Pilihan Peribadi: Setiap individu mesti mempunyai warna kegemarannya sendiri. Dengan melihat perkara yang digemari itu sahaja sudah cukup untuk memberi kebahagiaan kepada si pemakai.

Kesimpulan

Seni kraf apabila digabungkan dengan sains, akan meningkatkan nilai kraf itu sendiri. Jika kecantikan dari setiap simpulan benang sudah membuat seseorang tertawan, ditambah lagi dengan penggunaan warna yang menyenangkan. Semestinya karya seni itu begitu memberi manfaat kepada si pemakai, daripada fungsinya, hingga ke kesihatan emosinya.

Rujukan

Blind Babies Foundation (n.d.). How the eye and the brain work together. Ability Path. Dicapai pada 9 September 2026, dari https://abilitypath.org/ap-resources/how-the-eye-and-the-brain-work-together/

Chohan, D. A. (2023, August 22). The psychology of color in design: Influencing user behaviout and emotions. Medium. https://medium.com/design-bootcamp/the-psychology-of-color-in-design-influencing-user-behavior-and-emotions-f95b31d81092

Mukamal, R. (2017, June 8). How Humans See In Color. American Academy of Ophthalmology. https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/how-humans-see-in-color

Küller, R., Ballal, S., Laike, T., Mikellides, B., & Tonello, G. (2006). The impact of light and colour on psychological mood: a cross-cultural study of indoor work environments. Ergonomics, 49(14), 1496-507.

Kurt, S., and Osueke, K. K. (2014). The effects of color on the moods of college students. SAGE Open, 4(1)

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping