Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
Tutorial Mengait Bunga Tulip

Tutorial Mengait Bunga Tulip

Hai crocheter. Anda sedang mencari idea untuk projek crochet yang seterusnya? Anda mahukan projek itu mudah untuk disiapkan? Dan yang paling penting, projek itu mestilah nampak menarik? Apa kata anda cuba mengait bunga tulip.

Ia nampak menarik dan comel, malah ia senang dan memerlukan masa yang singkat untuk disiapkan. Secara teknikal pula, mengait bunga tulip ini cuma memerlukan beberapa kombinasi teknik crochet yang asas sahaja untuk menyiapkannya. Jadi, jom kita mempelajari cara untuk mengait kelopak bunga tulip ini bersama-sama.

Bahan dan Peralatan Utama

Sebelum mula mengait, mari sediakan bahan-bahan ini terlebih dahulu.

1. Benang Chenille: Saiz yang dicadangkan ialah 2mm. Namun ia terpulang kepada selera anda untuk memilih saiz benang chenille yang anda sukai.
2. Hook: Jika anda memilih benang bersaiz 2mm, gunakan hook 2.0mm atau 3.0mm. Tapi, jika anda memilih saiz benang yang lain, gunakan hook yang sesuai dengan saiz benang.
3. Stitch Marker, Jarum Tapestry dan Gunting: Perkara asas yang mesti ada semasa mengait, kan.

Teknik Crochet Yang Digunakan

Single Crochet Yarn Under (Sc YU): Kaedahnya sama seperti mengait Single Crochet yang umum. Cuma sebelum menarik benang keluar dari gelung, hook diletakkan di atas benang sebelum ditarik keluar. Setelah selesai satu kaitan Single Crochet, struktur berbentuk “X” akan muncul, dan ia tampil lebih padat dan kemas.

Increase Half-Double Crochet (Hdc): Bunyi macam gempak, tetapi teknik ini hanyalah dua Half-Double Crochet yang dikait pada satu gelung sahaja. Tujuannya untuk melebarkan fabrik yang akan menampakkan kelopak bunganya.

Langkah-Langkah Mengait

Kita bahagikan proses mengait kepada dua fasa, iaitu fasa asas dan badan bunga, dan fasa kelopak bunga.

Fasa Asas dan Badan Bunga

Pusingan 1: Lilitkan satu Magic Ring. Kemudian, kait 6 Single Crochet Yarn Under ( 6Sc YU) pada Magic Ring tersebut. Tarik pangkal Magic Ring untuk mengecilkan lubang ring tersebut.

Pusingan 2: Teruskan mengait Sc YU diatas jahitan yang pertama. Anda tidak memerlukan Turning Chain untuk kaitan ini. Gunakan stitch marker untuk menanda jahitan pertama. Buatkan satu lagi Sc YU pada jahitan pertama tersebut. Kemudian, lengkapkan pusingan ini dengan membuat 2 Sc YU pada setiap jahitan. Dihujungnya, anda akan mempunyai 12 Sc YU.

Pusingan 3: Kaitkan satu Sc YU pada jahitan yang telah ditanda dengan stitch marker. Kemudian, alihkan stitch marker pada Sc YU yang telah dikait. Pada pusingan ini, anda selang-selikan increase. Jika pada jahitan ini, anda mengenakan satu Sc YU, pada jahitan seterusnya anda perlu mengait dua Sc YU pada satu jahitan. Pada akhir pusingan, anda akan mempunyai 18 Sc YU.

Pusingan 4 dan seterusnya: Teruskan mengait satu Sc YU pada jahitan yang ditandai stitch marker. Alih stitch marker itu kerana peringkat seterusnya, kita akan mengait sehingga panjang silinder sesuai dengan bentuk bunga tulip. Kait satu Sc YU untuk satu jahitan. Pada pusingan ini, bentuknya akan berubah, dari bentuk kubah pada pusingan 1 hingga 3, ke bentuk silinder. Teruskan mengait Sc YU sehingga anda merasakan bahawa panjang silinder tadi ideal dengan bunga tulip.

Fasa Kelopak Bunga

Pusingan 1: Sekarang, anda mempunyai 18 Sc YU. Jadi, tentukan bilangan kelopak bunga yang anda mahukan pada bunga. Katakan kita mahu lima kelopak bunga. Kita bahagikan 18 jahitan tadi kepada 5, dan kita tentukan “titik tengah” untuk setiap kelopak. Tujuan titik tengah itu adalah sebagai tempat increase akan berlaku. Tandakan setiap titik tengah tersebut dengan stitch marker. Kemudian, mulakan mengait dengan formasi ini:

Slip Stitch (Sl St) ➡️ Single Crochet Yarn Under (Sc YU) ➡️ Increase Half-Double Crochet (Hdc) ➡️ Single Crochet Yarn Under (Sc YU)

Ulangi formasi ini untuk setiap kelopak sehingga selesai bulatan.

Pusingan 2: Ulangi kaitan dengan menggunakan formasi yang sama. Cuma kali ini, anda cuma perlu menambah 1 Half- Double Crochet (Hdc) pada jahitan yang telah mengalami penggandaan semasa proses increase. Anda boleh mengulang proses ini untuk satu atau dua pusingan lagi, supaya kelopak bunga anda terbentuk lebih nyata. Setelah anda berpuas hati dengan bentuk kelopak bunga, kait 1 slip stitch (Sl St) dan potong lebihan benang. Kemaskan lebihan benang yang terdapat pada projek menggunakan jarum tapestry.

Petua Mengait: Benang chenille sebenarnya agak rapuh dan teras dasarnya yang halus mudah terputus jika ditarik dengan kuat. Maka, anda perlu berhati-hati semasa mengendalikan benang ini.

Sentuhan Akhir

Setelah selesai fasa kelopak bunga, anda kini mempunyai bunga tulip yang gebu, kemas dan menarik.

Seterusnya, anda boleh menggubah bunga tulip tersebut mengikut cita rasa anda. Bunga tulip ini boleh dijadikan sebagai sarung kunci kereta (car key cover). Cuma perlu tambahkan tali, atau rantai besi, dan pintaskan melalui lubang magic ring pada kubahnya. Kemudian sematkan kunci kereta anda pada tali atau rantai besi tersebut menggunakan gelang kunci. Apabila tali atau rantai besi ditarik, ia akan menyembunyikan kunci kereta kedalam bunga tulip.

Ataupun anda boleh jadikan ia sebagai bunga hiasan. Cuma perlu tambahkan floral wire menerusi lubang magic ring, kemudian tambah beberapa perincian lain seperti daun. Buatkan beberapa lagi bunga yang sama dan letakkan kedalam pasu bunga.

Akhir kata, selamat mencuba tutorial ini dan happy crocheting!

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping