Anda sedang mencari tali yang sesuai untuk projek crochet? Hari tu sudah belajar i-Cord. Cuma kalau hendak mengaplikasikan i-Cord sahaja pada projek, nanti akan nampak kurang variasi. Projek pun akan nampak bosan kerana menggunakan teknik yang sama sahaja.
Apa kata kita belajar teknik mengait tali yang baharu. Ia dikenali sebagai Romanian Cord atau Romanian Point Lace Cord. Ia mempunyai struktur yang menarik, dengan susunan timbul dan berangka selain sisinya yang bergerigi. Jika dibaca sahaja pernyataan itu, anda mungkin akan menyangkakan bahawa rupanya agak menakutkan. Sebenarnya, Romanian Cord ini menampilkan gaya yang estetik dan mewah, selain simpulannya sangat kukuh.
Ia terlihat agak rumit, tetapi sebenarnya ia mudah untuk dikait. Cuma anda perlu mengambil perhatian pada kedudukan, dan “tempo”nya sahaja. Mari kita pelajari langkah demi langkah untuk membuat Romanian Cord.
Cara-cara Menyimpul Tali
Sebelum anda mengait Romanian Cord, pastikan anda menyediakan bahan-bahan asas yang diperlukan untuk crochet. Benang yang sesuai untuk projek anda, hook yang sesuai dengan benang, gunting dan jarum tapestri. Jika sudah, anda boleh mulakan crochet dari:
- Permulaan yang Ringkas: Buat satu simpulan (slip knot) dan kait 2 chain (2 Ch). Pastikan setiap kaitan anda tidak begitu ketat bagi memudahkan anda memasukkan hook ke dalam chain.
- “Bata” Pertama: Masukkan hook ke dalam chain pertama yang anda buat tadi. Ini bermaksud, anda melangkah chain kedua yang hampir dengan hook anda. Yarn over (YO), dan tarik benang keluar. Anda kini mempunyai 2 loop pada hook. Yarn over (YO) lagi dan tarik melalui kedua-dua loop tersebut (seperti buat single crochet (Sc) biasa).
- Pusing dan Cari “Telinga”: Pusingkan kerja anda sedikit ke arah KIRI. Anda akan nampak satu loop kecil di tepi, secara tepatnya, ia adalah hasil simpulan yang memegang loop pada hook anda. Masukkan hook ke dalamnya, kemudian cari simpulan (slip knot) dan masukkan juga hook kedalamnya. Yarn over (YO), tarik keluar benang melalui dua loop yang pertama, kemudian yarn over (YO) lagi dan tarik melalui kedua-dua loop.
- Rahsia Keajaiban: Pusingkan lagi kerja anda ke KIRI. Sekarang, anda akan nampak dua loop selari di bahagian tepi. Inilah kunci kekuatan Romanian Cord.
- Ulangi Rentak: Masukkan hook ke dalam kedua-dua loop tepi tersebut. Yarn Over (YO), tarik melalui dua gelung pertama, kemudian Yarn Over (YO) sekali lagi dan tarik melalui baki dua gelung pada jarum.
- Teruskan: Ulangi langkah 5 sehingga anda mencapai panjang yang anda ingini!
Pro Tips: Pastikan tarikan benang (tension) anda konsisten. Jangan terlalu ketat supaya jarum mudah masuk ke dalam “dua loop tepi” tersebut. Dan sentiasa ingat lagu “To The Left” dari Beyonce. Sentiasa pusing kerja anda ke kiri supaya corak timbul akan terhasil kemas.
Anda boleh berkunjung ke link ini, bagi melihat produk yang dihasilkan mengunakan teknik Romanian Cord ini.
Jadi, selesailah tutorial membuat Romanian Cord. Dengan hasil yang estetik, strukturnya pun agak kukuh dan tidak begitu meregang, anda pasti akan menyukainya.
