Dalam pelbagai jenis corak crochet yang ada, terdapat satu corak yang begitu ikonik dan mendefinisikan crochet itu sendiri. Corak itu ialah Granny Square. Ia merupakan corak yang kebiasaannya berbentuk segi empat dan dikait menggunakan benang pelbagai warna. Tetapi, tahukah anda disebalik corak yang berwarna-warni dan bersifat ceria ini, ada sejarah menarik yang anda perlu ketahui.
Apa itu Granny Square?
Secara teknikal, Granny Square adalah motif kait yang dimulakan dari tengah dan dikembangkan ke luar membentuk segi empat. Ia dihasilkan menggunakan gabungan chains (Ch) dan double crochet (Dc) dengan susunan atau kiraan tertentu. Daripada gabungan itu, ia menghasilkan motif tertentu yang membentuk kepingan ‘mozek’. Kepingan ini nantinya akan disambung menjadi projek crochet yang diingini, mahu ia selimut, beg tangan, cardigan malah busana unik!
Sejarah Granny Square
Asal-usul Granny Square dipercayai bermula pada abad ke-19. Mengikut catatan sejarah, ia muncul sebagai satu bentuk kebijaksanaan ekonomi wanita pada zaman dahulu.
• Pemuliharaan Benang: Pada masa itu, benang adalah barangan mahal. Wanita akan menyimpan lebihan benang daripada projek besar atau merungkai pakaian lama yang sudah rosak.
• Motif Penyelamat: Lebihan benang yang pendek dan berwarna-warni ini tidak cukup untuk membuat sehelai baju. Tetapi ia cukup untuk mengait sekeping Granny Square.
• Lahirnya Selimut ‘Tampal Seribu’: Kepingan mozek yang pelbagai warna ini kemudiannya dicantumkan menjadi selimut. Inilah sebabnya Granny Square tradisional sering kelihatan berwarna-warni tanpa tema yang tetap, ia adalah hasil daripada kitar semula benang.
Kenapa Dinamakan “Granny” Square?
Nama “Granny Square” mula popular secara meluas sekitar tahun 1890-an. Gelaran ini diberikan kerana motif ini lazimnya dikaitkan dengan golongan wanita lanjut usia atau nenek yang mempunyai penglihatan yang semakin merosot. Oleh kerana coraknya yang berlubang-lubang, ia sangat mudah dikait secara “sentuhan” tanpa perlu terlalu fokus pada setiap mata kaitan. Selain itu, ia menjadi aktiviti utama para nenek untuk menyediakan kelengkapan rumah buat cucu-cicit mereka menggunakan lebihan benang yang ada.
Mengapa Granny Square Masih Relevan?
Granny Square tidak luput ditelan zaman kerana fleksibilitinya. Ia adalah projek “mudah alih” yang sempurna. Andaikan anda sedang mengusahakan projek selimut tampal seribu. Anda tidak perlu membawa seluruh selimut yang belum siap itu ke mana-mana. Cukup sekadar membawa segulung kecil benang dan hook di dalam beg tangan untuk menyiapkan sekeping mozek pada waktu lapang anda.
Hari ini, corak Granny Square ini tidak lagi dianggap lapuk. Daripada pentas peragaan jenama mewah di Paris sehinggalah ke trend streetwear di TikTok, Granny Square telah berevolusi menjadi simbol kreativiti tanpa had dan fesyen lestari yang paling digemari.
Intermission.
Terdapat pelbagai jenis motif dan reka bentuk Granny Square yang ada pada masa kini. Terima kasih kepada para antusias crochet yang telah menyumbang daya kreativiti mereka dalam menghasilkan seni yang cantik ini. Tetapi, untuk mengetahui tentang Granny Square sahaja tidak cukup. Anda sendiri sebagai seorang crocheter perlu merajutnya sendiri. Untuk itu, pastikan anda terus mengikuti entri yang seterusnya bagi mengetahui cara pembuatan Granny Square ini. So, stay tune!
