Tahukah anda, terdapat corak jahitan corchet yang dibuat menggunakan dua jenis jahitan sahaja? Ya, hanya dengan Single Crochet (Sc) dan Double Crochet (Dc), anda sudah boleh membuat corak yang menarik. Ianya dinamakan Houndstooth Stitch, bersempena dengan hasilnya yang menampakkan corak seolah gigi taring yang tersusun.
Mari pelajari cara-cara untuk menghasilkan Houndstooth Stitch ini. Mana tahu, ia sesuai untuk projek crochet anda yang seterusnya. Anda cuma perlukan kit crochet anda seperti hook yang sesuai, gunting, penanda benang dan dua jenis benang berbeza warna.
Dari Simpulan Menjadi Corak Menarik
Houndstooth Stitch ini merupakan kombinasi antara Sc dengan Dc secara berulang. Selain berulang, ia memerlukan fabrik diputar setelah menyelesaikan satu baris corak bagi mendapatkan hasil corak yang bergerigi.
Fasa Persediaan
Sediakan asas bagi projek anda dengan membuat satu siri rantai yang dikait dalam nombor ganjil (contohnya, Ch=15). Untuk membuat siri rantai ini, gunakan satu benang yang anda pilih dari dua benang yang tersedia, dan ia kita labelkan sebagai warna A.
Fasa 1: Baris Pertama
1. Berkesinambungan dari fasa persediaan, buatkan 1 Sc pada rantai kedua dari cangkuk.
2. Buat 1 Dc pada rantai seterusnya.
3. Ulangi langkah berikut secara berselang-seli sehingga hujung baris: 1 Sc, 1 Dc.
4. Akhiri baris dengan 1 Dc.
5. Penting: Semasa melakukan Dc terakhir, JANGAN selesaikan jahitan sepenuhnya. Biarkan dua gelung terakhir pada cangkuk.
Fasa 2: Baris Kedua dan Pertukaran Benang
1. Tarik benang yang kedua, dilabel sebagai warna B melalui dua gelung terakhir jahitan Dc tadi. Ia dikenali sebagai teknik Clean Color Change.
2. Putarkan fabrik projek.
3. Buatkan satu rantai (Ch 1) sebagai turning chain.
4. Mulakan baris baharu dengan Warna B di mana anda melihat jahitan Dc dari baris sebelumnya (Bagi memudahkan anda, mulakan dengan membuat 1 Sc pada jahitan terakhir Dc untuk baris sebelumnya).
5. Ulangi langkah berikut secara berselang-seli: 1 Sc ke dalam setiap jahitan Dc dari baris sebelumnya, dan 1 Dc ke dalam setiap jahitan Sc dari baris sebelumnya.
6. Peraturan Utama: Sentiasa kait Sc di atas jahitan Dc baris sebelumnya, dan Dc di atas jahitan Sc baris sebelumnya.
7. Sama seperti Baris pertama, akhiri dengan Dc terakhir yang BELUM selesai.
Fasa 3: Mengulangi Baris Pertama
1. Tukar semula kepada Warna A pada dua gelung terakhir (ulangi langkah seperti dipermulaan Fasa 2).
2. Putar projek, Ch 1 sebagai turning chain. Kemudian, ulangi corak dari Fasa 2 (Sc di atas Dc baris sebelumnya, Dc di atas Sc baris sebelumnya).
3. Teruskan mengulang Fasa 2 dan Fasa 3, menukar warna pada penghujung setiap baris, sehingga projek anda mencapai saiz yang dikehendaki.
Peringatan Mesra: Luangkan masa untuk mengenalpasti Dc dan Sc di baris sebelumnya. Ia penting agar anda tidak tersalah membuat jahitan pada simpulan yang lain, seterusnya menghalang corak bergerigi daripada terhasil.
Adalah tidak mencukupi hanya dengan mengetahui teorinya sahaja. Anda perlu mengerjakannya sendiri dan melihat kesesuaiannya kepada projek anda yang seterusnya. Jadi, semoga berjaya dan selamat mengait!
