Asyik-asyik tutorial, asyik-asyik cerita panjang lebar tentang crochet. Sekali-sekala buat trivia cantik jugak, kan? Jom kita ketahui 5 fakta menarik tentang dunia crochet, ada daripadanya bakal membuatkan anda terkedu!
1. “Crochet” Yang Membawa Erti.. Cangkuk?!
Fakta Poket: Bunyi dah stail dah kan, tapi sebenarnya memang itulah maksudnya.
Mesti anda hairan kenapa crochet itu disebut kro-shey, kan? Sebutan macam Bahasa Perancis. Ya, crochet memang berasal dari Bahasa Perancis lama, iaitu croc atau crochet. Ia membawa maksud cangkuk kecil. Jadi, sangat sepadan dengan hook yang kita gunakan untuk mengait, terdapat cangkuk kecil comel dihujungnya. Bermula dari perkataan ringkas, terhasilnya karya-karya indah yang menghiasi dunia seni kita, termasuk beanie ekslusif kaitan tangan yang ada dalam almari anda!
2. Seni Mengait Ini Pernah Menyelamatkan Jiwa!
Fakta Poket: Pada masa kini, ya, crochet dianggap sebagai hobi. Tetapi, pada suatu masa dahulu, ia pernah menjadi antara penyelamat ekonomi sebuah negara!
Sekitar abad ke-19, Ireland yang sedang mengalami kebuluran besar (The Great Famine). Rakyat mereka dikatakan terputus sumber pendapatan. Maka, salah satu jalan untuk mereka terus hidup ialah dengan belajar cara untuk membuat renda crochet, yang kita kenali sebagai Irish Lace Crochet. Renda crochet yang halus itu dijual kepada golongan bangsawan diluar negara. Hasil jualan itulah yang membantu mereka membeli makanan dan meneruskan hidup. Menarik bukan? Benda yang kita anggap sampingan masa kini, sebenarnya dulu adalah penyelamat kepada sebuah bangsa!
3. Stress? Cuba Mula Mengait
Fakta Poket: Aktiviti crochet ini boleh dikategorikan sebagai “healing” bajet rendah.
Apabila kita mula mengait, fikiran kita akan tertumpu pada jahitan dan kiraan jahitan. Tambahan pula dengan warna benang yang cantik hasil pilihan anda sendiri, akan menyebabkan hati anda menjadi tenang. Secara saintifiknya, pergerakan tangan yang berulang ketika mengait akan merangsang otak untuk merembeskan hormon gembira (serotonin). Ditambah dengan melihat sesuatu yang anda sukai, sudah pasti hormon gembira akan dirembes bertubi-tubi! Selepas ini, jika anda serabut dengan kerja atau belajar, ketepikan dulu perkara tersebut, tarik benang anda dan mula mengait sebaris dua.
4. Hook Crochet Untuk Gergasi
Fakta Poket: Rekod dunia untuk hook crochet terbesar ialah sepanjang 2.77 meter!
Anda rasa hook 36.0 mm yang digunakan oleh crocheter di TikTok untuk mengait amigurumi buah tomato bersaiz jumbo itu sudah cukup besar? It’s nothing. Menurut Guinness World Records, hook crochet terbesar di dunia mempunyai ketinggian hampir 3 meter. Dan yang menariknya, hook gergasi buatan UK itu memang boleh digunakan untuk mengait. Agaknya hook itu digunakan untuk menghasilkan projek crochet yang boleh buat tutup rumah kot?
5. Plot Twist! Seni Mengait Ini Pernah Dimonopoli Oleh Kaum Lelaki
Fakta Poket: Lelaki memegang hook lagi dahulu sebelum adanya “propaganda” nenek-nenek duduk bersandar di kerusi malas sambil mengait benang.
Beratus tahun dahulu, teknik jalinan cangkuk dimulakan dan digunakan oleh para nelayan lelaki untuk membuat dan membaiki pukat ikan. Malah, suatu ketika dahulu di Eropah, wujudnya sebuah persatuan pengait profesional yang dipanggil Guilds. Dan ya, pada ketika itu, banyak larangan dikenakan terhadap wanita, maka persatuan tersebut hanya menerima ahli dari kalangan lelaki sahaja. Malah, seni mengait ini pernah dijadikan sebagai terapi pemulihan kepada askar-askar yang cedera pasca perang dunia. Jadi, seni crochet ini sebenarnya sangat universal dan boleh diamalkan oleh semua!
Macam mana? Dari 5 fakta di atas, mana satu yang mendapat momen “haa! biar betul!” anda? Jangan lupa untuk kongsikan fakta-fakta ini dengan kawan-kawan anda. Orang kata, benda baik harus dikongsi bersama-sama!
