Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
5 Petua Penjagaan Produk Crochet

5 Petua Penjagaan Produk Crochet

Setiap karya seni crochet yang dihasilkan, sama seperti karya hasil kraf tangan yang lain, mempunyai pesona dan nilainya yang tersendiri. Sudah semestinya, setiap karya seni ini memerlukan penjagaan rapi sesuai dengan nilainya. Produk crochet seperti beg tote, beanie, kardigan atau selimut, produk yang dihasikan dari sulaman benang ini perlukan perhatian khusus agar kualitinya terus terjaga.

Mari kita ketahui beberapa petua yang boleh dipraktikkan untuk menjaga karya seni crochet kesayangan anda:

1. Basuh Menggunakan Cucian Tangan

Mungkin ini kedengaran agak romantik dan berlebihan. Tunjukkan kasih sayang anda melalui sentuhan. Ya, untuk membasuh produk crochet anda, adalah lebih baik untuk membasuhnya secara manual menggunakan tangan. Rendamkan ia ke dalam air suam bersama sedikit bahan pencuci, kemudian urut fabrik secara perlahan. Sental sedikit jika perlu sebelum dibilas dengan air. Meskipun mesin basuh memudahkan kerja, namun tangan anda lebih arif tentang apa yang perlu dilakukan untuk tidak merosakkan barang kesayangan anda.

2. Elakkan Seperti Memerah Pakaian Biasa

Selesai dibilas, balut atau letakkan produk crochet anda pada tuala kering, kemudian tekan perlahan-lahan supaya air diserap oleh tuala kering tersebut. Atau anda boleh menggantung produk crochet anda dalam suatu tempoh masa tertentu bagi membiarkan lebihan air jatuh ke lantai. Kemudian, anda boleh mengibasnya supaya tiada lagi lebihan air pada produk crochet tersebut. Kenapa tidak boleh diperah? Kerana ia akan merosakkan bentuk serta integriti simpulan pada produk crochet tersebut.

3. Lupakan Ampaian atau Penyangkut Baju

Jika anda menjemur produk crochet anda pada ampaian atau penyangkut baju, kemungkinan besar ia akan mengherot apabila sudah kering. Untuk mengekalkan rupa bentuknya, anda boleh bentangkan tuala atau alas kering di permukaan rata dan “jemur” produk crochet anda diatasnya.

4. Rehatkan, Jangan Diseksa

Jika anda bercadang untuk menyimpan produk crochet anda dalam almari, biarkan ia dilipat atau disusun kemas. Selitkan pewangi udara atau bunjut lavender bersama-sama di dalam almari bagi mengelakkan bau hapak. Manakala menggantungnya pada penyangkut baju akan membuat produk crochet kesayangan anda seperti sedang menerima hukuman. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan struktur produk crochet anda merenggang.

5. Hilangkan Bulu Benang (Pilling) Dengan Selamat

Untuk produk crochet yang menggunakan benang kapas, akrilik atau bulu bebiri, bulu benang kerap muncul apabila anda kerap menggunakannya. Usah bimbang, ia bukan petanda bahawa produk crochet anda rosak. Ia cuma bermaksud produk crochet itu telah banyak memberi sumbangan kepada anda. Gunting menggunakan gunting kecil atau gunakan fabric shaver untuk menghilangkan bulu benang tersebut. Elakkan menarik keluar bulu benang tersebut menggunakan jari. Ini akan menyebabkan bulu tersebut tidak dirapikan dengan sempurna. Kesan carikan masih kelihatan dengan adanya lebihan bulu benang yang tertinggal pada produk crochet kesayangan anda.

Jika dilaksanakan dengan betul, penjagaan produk crochet ini tidaklah rumit dan leceh seperti yang disangka. Melalui penjagaan yang betul, barangan kraf tangan ini mampu menjadi peneman anda melakukan aktiviti harian untuk tempoh jangka masa yang panjang.

P/s: Jika anda mempunyai tips atau petua penjagaan produk crochet atau produk kraf tangan, ayuh kongsikannya dengan masyarakat di ruangan komen dibawah. Happy crocheting!

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping