Welcome to Kraf'd
sign up & buy with us now!
cool crafted products await!
shipping to whole Malaysia
5 Persoalan Timbul Ketika Menyiapkan Projek Crochet

5 Persoalan Timbul Ketika Menyiapkan Projek Crochet

Sedang anda fokus dengan setiap simpulan untuk projek crochet anda, tiba-tiba terlintas difikiran anda persoalan seperti ini. Kenapa setiap stitch saya agak condong ke satu arah? Saya salah step ke, sedangkan saya merujuk tutorial ni? Ala, macam mana boleh stitch saya tak kemas ni? Terkadang, pertanyaan seperti itu mengurangkan tahap keyakinan kita untuk menyiapkan projek crochet.

Jangan risau, tetapi bergembiralah, kerana itu merupakan salah satu daripada proses pembelajaran kita. Mari kita rungkai 5 soalan yang membuat seorang crocheter, biasanya pada tahap beginner hadapi, berserta solusinya!

1. “Kenapa projek crochet melengkung apabila saya cantumkan fabrik yang menggunakan corak Suzzette Stitch dengan Single Crochet (Sc)?”

Penyebab: Ketumpatan (gauge) dan anatomi stitch merupakan punca terbentuknya lengkungan pada fabrik tersebut. Untuk pengetahuan anda, Suzzette Stitch ini asasnya terbina dari gabungan beberapa Double Stitch (Dc) dan Single Crochet (Sc). Hasilnya, fabrik akan “menggebu” manakala ketinggian jahitan adalah mengikut ukuran Double Stitch (Dc). Berbeza dengan hasil menggunakan Single Crochet (Sc) sahaja, fabrik akan menjadi lebih mampat dan pendek.

Apabila dicantumkan antara dua fabrik ini secara “by-line“(nisbah 1:1), fabrik Suzette Stitch akan ditarik oleh fabrik Single Crochet. Hasilnya, fabrik dipaksa melengkung kerana mengikuti ketinggian fabrik yang lebih pendek.

Penyelesaiannya: Menyambungkannya secara “by-line” tidak praktikal untuk kes ini. Jadi, anda perlu mengukur bahagian tepi setiap fabrik menggunakan pembaris. Daripada ukuran tersebut, anda boleh merangka pada lubang mana yang perlu dijahit. Kadangkala, melangkau stitch atau menjahit dua cantuman untuk satu baris juga diperlukan bergantung pada keadaan. Sebelum itu, pastikan fabrik anda lurus dan sekata, lakukan steam blocking jika perlu.

2. “Sedang saya mengait Yeti Bag, saya dapati bahawa sambungan barisnya agak condong. Adakah saya terkait chain yang salah?”

Penyebab: Tidak, anda tidak memulakan baris pada chain yang salah. Kejadian itu, atau slanted seam merupakan tindak balas fizikal semula jadi dalam crochet. Baris atas stitch (top loops) secara anatominya teranjak ketepi dari “tiang” di baris sebelumnya.

Jika kita fokuskan pada satu jahitan, biasanya chain akan hadir selepas tiang jahitan. Bayangkan, apabila anda membuat satu jahitan yang biasa, anda akan mengait melalui chain di baris sebelumnya. Secara teknikalnya, tiang jahitan yang anda jahitkan ini semestinya akan terkehadapan dari tiang di baris sebelumnya. Apabila dikait secara pusingan dalam satu arah yang berterusan, sambungan akan terus berganjak kehadapan dan menampakkan garisan condong yang ketara.

Solusinya: Praktikkan teknik Turn the Work. Dalam erti kata yang mudah, selepas anda selesai menyempurnakan satu baris, pada baris seterusnya, anda cuma perlu terbalikkan fabrik anda. Dengan itu, anda akan mengerjakan projek crochet anda pada arah yang bertentangan. Hasilnya, kesinambungan setiap jahitan akan nampak seakan-akan susunan batu-bata dinding. Ataupun, jika anda tidak ingin setiap sambungan itu kelihatan, anda boleh menggunakan teknik Yarn Under (YU) dan mengait secara pusingan lingkaran berterusan (Spiral Method).

3. “Apesal Granny Square saya dah jadi macam propeler kapal pulak ni? Yang saya ikut kat YouTube okay je?”

Penyebab: Ia terjadi apabila anda mengait Granny Square anda dalam satu arah sahaja. Makanya, daya tarikan benang akan menarik corak mengikut arah anda mengait, yang kebiasaannya melawan pusingan jam.

Ubatnya: Mungkin pengajar YouTube terlupa memberitahu anda atau anda terlepas tips penting dari pengajar tersebut. Sebenarnya, mereka hanya memusingkan Granny Square mereka (Turn the Work) sebelum memulakan baris baru. Sama seperti solusi di soalan 2, kaedah ini akan menyeimbangkan tarikan benang di baris sebelumnya. Oleh itu, corak Granny Square akan menjadi tegak dan sudutnya tajam seakan-akan sebuah segi empat. Bagi memastikan hasil Granny Square anda sama seperti pengajar di YouTube, lakukan blocking dengan menyembur air dan sidai pada papan blok khas.

4. “Bila buat Magic Ring, kenapa ada timbul benang antara sambungan ye? Tak kemas dah Magic Ring saya?”

Penyebab: Ini mesti kes tersalah kait chain terakhir untuk menutup bulatan sebelum beralih ke baris yang seterusnya. Dalam erti kata lain, simpulan yang paling awal telah terlepas dari kiraan, yang mungkin disangka cuma sebagai turning chain. Jadi, apabila tali ekor ditarik untuk merapatkan simpulan dan mendapatkan bulatan, simpulan yang pertama tadi akan terangkat dari barisan.

Penyelesaiannya: Untuk Magic Ring yang seterusnya, anda cuma perlu memastikan kaitan dibuat pada chain yang paling awal terbentuk.

5. “Bila guna benang jenis cotton wool atau acrylic je, mesti projek saya jadi berbulu. Saya pun hairan lah?”

Penyebab: Geseran. Benang dari jenis tersebut memiliki serat halus. Jadi, geseran antara hook, jari anda atau sesama benang akan menarik serat ini keluar dari pintalan benang, lalu menghasilkan bulu halus.

Solusinya: Untuk mencegah perkara ini daripada berlaku lagi, anda perlu mencari benang dengan label Anti-Pilling atau Mercerized Cotton. Bagi projek yang sudah siap, anda boleh menggunakan pencukur fabrik untuk memotong bulu halus tersebut. Sementara untuk cucian, basuhan secara manual dengan tangan dengan berhati-hati atau boleh juga menggunakan beg dobi.

Sebagai Penutupnya

Soalan-soalan diatas hanyalah secebis kecil dari kemusykilan yang timbul dalam dunia crochet. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau pengalaman yang ingin dikongsikan, selesakan diri untuk mengekspresikannya diruangan komen! Ataupun jika anda mempunyai solusi dan tips yang lebih baik untuk mengatasi isu diatas, jangan segan untuk berkongsi sesama penggemar seni crochet.

Leave a Reply

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping