Hai crocheter sekalian! Pernahkah anda melihat hasil crochet dengan bunga kecil yang kelopaknya kelihatan gebu di media sosial? Ha, itulah Puffed Flower Crochet. Ia nampak agak rumit, tetapi sebenarnya ia terdiri dari dua jenis teknik jahitan iaitu Magic Ring dan Puff Stitch. Selain comel, Puffed Flower Crochet ini mengoptimumkan sisa benang yang anda simpan dari projek yang lain.
Jom, kita mulakan tutorial membuat Puffed Flower Crochet! Mula-mula, sediakan bahan asas untuk crochet:
1. Benang: Jenis Milky Cotton (4ply keatas) direkomendasikan bagi mendapatkan kelopak yang lebih gebu,
2. Hook: Mengikut kesesuaian benang yang digunakan,
3. Gunting dan jarum tapestri.
Proses Menyimpul Bunga Gebu
Sediakan “Sepal” Bunga
Buatkan satu Magic Ring. Padanya, jahitkan 12 Single Crochet (Sc). Kenapa 12? Ia berfungsi sebagai asas kepada kelopak bunga. Jika ada 12 Single Crochet (Sc), maka 6 kelopak bunga yang akan terhasil. Jika anda mahukan 5 kelopak, maka anda cuma perlu 10 Single Crochet (Sc). Tutup Magic Ring seperti biasa, dengan mengetatkan bulatan dan menyambungkan jahitan terakhir dengan jahitan pertama. Katakan anda ingin menukar benang. Kemaskan jahitan Magic Ring dengan hemat, kemudian sambungkan benang baharu pada satu daripada 12 lubang yang ada pada Magic Ring.
Mekarlah Kelopak Pertama Bunga
1. Buat 2 Chain (2Ch).
2. Pada lubang yang sama, buat Puff Stitch: Yarn over (YO), masukkan hook, tarik benang setinggi Chain pada langkah 1 tadi. Ulang langkah ini sebanyak 2 ke 3 kali dalam lubang yang sama sehingga jarum anda penuh dengan gelung benang. (Anda boleh mengulang langkah ini sebanyak mana yang anda mahu. Namun, kelopak yang terlampau gebu akan menyukarkan anda pada akhir proses)
3. Ulang langkah 2, cuma pada lubang jahitan yang seterusnya.
4. Setelah anda siap mengulang langkah 2, Yarn over (YO) dan tarik melalui semua gelung di hook kecuali satu gelung yang paling pangkal pada hook. Tutup langkah dengan membuat satu Slip Stitch (Sl St) pada dua gelung yang terdapat pada hook.
5. Buat 2 Chain (2Ch) lagi dan slip stitch (Sl St) di lubang jahitan yang seterusnya. Satu kelopak siap!
Kelopak Kedua dan Seterusnya
Ulangi langkah 2 hingga 5 untuk membuat kelopak bunga yang seterusnya. Jika anda menggunakan 12 Single Crochet (Sc), pastikan anda memperoleh 6 kelopak bunga apabila melengkapkan satu kitaran.
Kemaskan Hasil Kerja
Potong lebihan benang dan buat simpulan mati pada jahitan terakhir. Gunakan jarum tapestri untuk menyembunyikan lebihan benang diantara jahitan supaya bunga itu nampak lebih kemas.
Pro Tips: Jangan tarik benang terlalu ketat semasa membuat puff. Beri sedikit ruang supaya hook mudah ditarik keluar dan kelopak bunga nampak lebih ‘bulat’ dan montel!
Nak Buat Apa Dengan Puffed Flower Crochet ini?
Bayangkan, anda cantumkan bunga-bunga montel ini menjadi sweater atau cardigan. Pasti akan ada mata-mata yang memerhati dek kecomelan hasil projek anda itu. Kalau tak pun, lekatkan sahaja bunga ini bersama pin untuk dijadikan kerongsang.
Jadi, anda sudah ada bunga gebu pertama anda. Buatkan bunga yang seterusnya, kemudian gabungkan mengikut projek yang anda inginkan. Jangan lupa ambil gambar projek anda dan kongsikan kepada komuniti projek kita!.
